EJAH


Kakinya terasa sengal dan pedih. Jalur-jalur merah kebiruan di kaki masih jelas kelihatan. Sebatan tali pinggang ayah semalam masih terasa peritnya.

Entahlah, mungkin ayah tidak sayang padanya. Dia selalu saja di pukul dan diherdik. Nak kata nakal tak adalah sangat. Adatlah, kanak-kanak memanglah begitu.

Sedikit sebanyak ada juga nakalnya. Dia duduk melanguk di atas tangga.
Kanak-kanak lain berlari-lari bermain di hadapan rumahya. Hari ini hatinya tidak pula teringin bermain bersama kawan-kawan lain.

"Jomlah awak. Kita main lari-lari," ajak Ani, teman sekelasnya.

"Tak naklah. Kita penat,"jawabnya acuh tak acuh sambil menggeleng.

"Alah jomlah. Awak tak payah lari kuat-kuat. Pelan-pelan pun boleh saja," pujuk Ani.

"Tak moh lah. Awak pegilah. Kita tengok saja," jawabnya lagi.

Akhirnya Ani mengalah dan berlari ke arah teman-teman yang lain. Dia hanya memandang kosong ke arah mereka.

"Ejah!" tersentak dia mendengar suara ayah dari dalam rumah.

Segara dia berlari masuk. Ayah berdiri bercekak pinggang di depannya.

"Kau dah buat kerja sekolah belum?" tanya ayah.

"Hari ni tak ada kerja sekolah," jawabnya perlahan.

"habis tu tak reti nak belajar? Mentang-mentang tak ada kerja sekolah tak boleh tengok buku. Kau tu bukannya pandai sangat malas-malas nak belajar" herdik ayahnya. Dia hanya terkebil-kebil memandang ayahnya.

"Yang berdiri terkebil tu Kenapa. Pergi baca buku," herdik ayah lagi sambil mencubit peha kirinya.

Segera dia berlari ke biliknya.. Air mata mengalir deras mambasahi pipi
cengkungnya. Di dalam biliknya dia menangis dengan perlahan dan
tertahan-tahan. Takut didengari ayah. Kalau ayah tahu yang dia menangis bukan belajar, tentu telapak tangan ayah hinggap di tubuh kecilnya. Tidak sanggup lagi rasanya untuk tubuh kecil itu menerima pukulan ayah.

Perlahan-lahan dia membuka almari bajunya. Di antara baju-bajunya yang berlipat dan bersusun kemas ditarik sekeping gambar. Wanita di dalam gambar itu tersenyum manis. Nenek kata itu adalah mamanya. Dia tidak pernah berjumpa mama. Menurut nenek mama meninggal 8 tahun lalu semasa umurnya baru 5 hari. Ketumpahan darah kata nenek. Entahlah dia pun tak tahu apa maksud nenek dengan ketumpahan darah. Dia selalu berfikir, kalau mama masih ada mesti mama akan memarahi ayah yang selalu memukulnya. Mama mesti membelanya.

Walaupun dia tidak pernah berjumpa mama namun dia begitu sayang kepada mama. Setiap kali papa memukulnya pasti dia akan mencari gambar mama. Kepada gambar mamalah diceritakan dengan air mata yang berlinangan betapa sakitnya dipukul ayah. Dia tidak ada adik-beradik yang lain, hanya kepada gambar mamalah dapat dicurahkan kesedihannya. Nak mengadu pada nenek, nenek tinggal jauh darinya. Lagipun kalau ayah tahu dia mengadu pada nenek sudah tentu
lagi teruk dia dipukul. Akhirnya dia menangis sehingga tertidur. Hari ini
dia kesekolah seperti biasa. Begnya yang sarat dengan buku-buku digalas di bahu. Dia berjalan menuju ke bilik darjah.

"Ejah! Tunggu kita," jerit suara kecil dari belakang.

Ani berlari terkedek-kedek mengejarnya. Ejah hanya tersenyum kecil memandang Ani.

"Awak nak datang tak rumah kita tak nanti lepas sekolah?" tanya Ani sambil mereka berjalan seiringan menuju kebilik darjah.

"Boleh ke? Mak dengan ayah awak tak marah ke?" tanyanya ragu-ragu.

"Buat apa nak marah. Kita boleh belajar sama-sama. Kan minggu depan ada ujian matematik," jawab Ani sambil tersengeh.

Ani memang selalu begitu. Dia sentiasa kelihatan riang. Dia suka berkawan dengan Ani. Ani baik. Selepas sekolah Ejah ke rumah Ani. Emak Ani tersenyum mesra semasa mereka sampai.

"Marilah makan dulu Ejah. Lepas makan baru belajar," pelawa Emak Ani sambil tersenyum. Ejah hanya tersenyum malu.

Baiknya emak Ani. Kalau Ejah mama masih hidup tentu mama pun baik macam ni.

Mereka makan bersama-sama. Ikan masak lemak cili api, daun ubi bercecah sambal belacan, ikan kering sepat. Memang enak. Pandai emak Ani masak. Dalam segan-segan habis dua pinggan nasi dimakan Ejah.

"Makan banyak-banyak sikit Ejah. Kamu tu kurus sangat," kata emak Ani sambil menyenduk nasi ke pinggannya. Ejah hanya mengangguk malu.

"Jangan makan banyak sangat pula, nanti kamu jadi macam si Ani ni ha,
tembam" usik ayah Ani pula.

Ani hanya menjelir lidah pada ayahnya. Ketawa berderai. Tak pernah ayahnya berjenaka begitu dengannya. Untung Ani dapat keluarga yang baik. Bila terkenangkan ayahnya Ejah mula terasa sedih. Air matanya di tahan. Malulah kalau menangis ada depan orang. Ejah dan Ani belajar bersama. Ayah Ani telah pergi semula ke tempat kerja. Emak Ani sibuk menghidangkan mereka air milo dan biskut untuk mereka.

Ejah menerangkan kepada Ani beberapa masalah matematik. Ejah sememangnya lebih pandai dari Ani. Bukan kerana dia rajin belajar tetapi kerana dia mudah menerima ilmu. Sekali di ajar sudah tentu difahami dan dihafalnya. Masa begitu cepat berlalu. Sedar tak sedar sudah hampir ke pukul 4 petang. Ejah panik. Ayah mesti marah kalau dia sampai lambat ke rumah. Segera dia mengemas buku-bukunya. Ejah bergegas pulang. Berlari-lari anak dia pulang rumah.

Sewaktu menaiki tangga rumah hatinya berdebar-debar. Terbayang wajah ayah yang menyinga. Kecut perutnya apabila membayangkan tali pinggang ayah menghinggapi belakangnya. Sebaik sahaja dia sampai di pintu langkahnya terhenti. Terdengar suara perempuan bercakap dengan ayah.

Nenek!!! "Biarlah saya bawa Ejah pulang ke rumah saya Jusoh. Di sini pun bukan ada siapa yang menjaganya. kasihan saya tengok dia tu, makan pakai tak terurus" "Tak payahlah mak. Tahulah saya menjaganya," ayah bersuara acuh tak acuh.

"Janganlah kamu berdegil Jusoh. Mak bukan nak pisahkan kamu dari darah daging kamu sendiri. Cuma mak kasihan dengan Ejah tu saja," nenek cuba memujuk ayah.

"Mak ingat mak boleh menjaga si Ejah itu. Dia tu degil. Kalau mak berlembut sangat dengan dia mulalah dia naik kepala. Tengoklah ni, dah petang-petang gini pun masih tak balik-balik lagi. Ke mana agaknya merayap tak tentu hala. Kalau balik siaplah dia nanti. Kalau tak kena penangan memang sajalah," terdengar nada marah di suara ayah.

Ejah hanya diam berdiri ada belakang pintu. Menggigil ketakutan.

"Ejah tu taklah sejahat mana. Budak-budak. Adatlah nakalnya pun. Kau ingat mak tak tahu yang kau selalu memukul dia?"

"Oh, dia dah pandai mengadu pula sekarang ni ye. Anak tak sedar di untung. Dahlah emaknya mati kerana dia. Kalau tak kerana nak melahirkan dia sudah tentu Maria masih hidup lagi," jerkah ayah.

"Bukan dia yang mengadu Jusoh. saya ni bukan buta. Birat-birat badan budak tu kau kerjakan. Sudah-sudahlah kamu menyalahkan dia diatas kematian emaknya. Kamu ni bercakap macam orang tak beragama. Hidup mati tu kan di tangan Tuhan,"

"Tak payahlah mak nak berkhutbah kat sini. Dia anak saya, pandailah saya menjaganya,"

Ejah membuka pintu perlahan-lahan. Dua pasang mata tertumpu ke arahnya.

"Nenek," jeritnya sambil berlari ke arah nenek. Tangan nenek di cium hormat.

"Dah besar dah cucu nenek ni," ujar nenek.

Ada nada sayu yang terselindung. Pipi Ejah dicium lembut

"Kau ke mana ha Ejah?" herdik ayah.

Tersentak Ejah. Ejah tunduk memandang lantai. Nenek mengusap lembut
rambutnya.

"Kamu ni Jusoh. Budak tu baru balik. Bukan nak tanya dah makan ke belum.

Terus-terus nak marah saja," nenek membelanya.

"Tak payahlah mak mengajar saya cara nak menjaga anak. Mak membelanya macam ni memanglah dia suka. Mulalah besar kepala," marah ayah.

"Ejah, pergi tukar baju sekolah tu. Kotor nanti," ujar nenek lembut padanya.

"Baiklah nek," terus dia berlalu ke biliknya.

Dari dalam bilik dapat di dengar ayah dan nenek bertengkar. Dia hanya diam membisu di atas katilnya. Hatinya sedih. Tak sangka dia yang menyebabkan mamanya mati. Dia benci dirinya di saat itu. Patutlah ayah selalu marah padanya. Patutlah ayah benci dirinya. Ejah terus menangis tersedu-sedu. Tangisnya terhenti bila terdengar pintu berdentum. Nenek telah pulang.

Pintu biliknya terkuak. Ayah melangkah masuk dengan wajah menyinga.

"Ke mana kau marayap hah?" jerkah ayah. Dia hanya diam sambil air mata mengalir ke pipi.

"Jawab!" tengking ayah. Tersentak dia. Tubuhnya terhenjut-henjut menahan tangis.

"Orang pergi rumah Ani," jawabnya perlahan dan terketar-ketar sambik menahan sendu.

"Kenapa? Kau dah tak ada rumah?" marah ayah lagi.

Ejah hanya diam membisu. Ayah menampar pipinya. Perit. Ejah terjatuh dari birai katil. Tangisnya semakin kuat.

"Kau tak dengar saya tanya? Kau dah tak ada rumah sendiri nak merempat ke rumah orang?" tengking ayah sambil menarik rambut Ejah. Dia hanya mampu mengikut tarikan tangan ayah.

"E..ejah, Ejah pergi belajar kat rumah Ani," jawabnya tersedu-sedu.

"Ooh, belajar. kat rumah ni tak boleh belajar? Kenapa? Apa kurangnya rumah ni? Dah pandai nak memilih pulak. Anak tak sedar diri," jerit ayah lebih kuat.

Sekali lagi pipi si kecil menjadi sasaran tangan ayah. Terpelanting tubuh
kecil itu ke lantai. Ejah merintih kesakitan. Terasa cecair hangat mengalir
dari hidungnya. Darah. Ayah tidak berhenti disitu. Tubuh kecil Ejah disepak.

Ejah merintih penuh kesakitan. Tapi Ejah tidak melawan. Langsung tidak
merayu agar ayahnya berhenti. Dia merasakan yang dia memang layak dipukul.

Semuanya kerana apa yang berlaku pada mama. Biarlah ayah pukul dia. Dia rela asalkan mama memaafkannya. Ejah rasa berdosa pada mama. Ayah menarik rambut Ejah lagi dan sekali lagi penampar papa hinggap di pipinya. Ejah tercampak ke dinding. Ayah terus menggila. Ejah yang kecil itu terus menjadi sasaran tangan dan kakinya. Pandangan Ejah mula kabur. Dia tidak lagi bergerak.

Semuanya bertukar gelap...

Ejah terjaga. Dia masih lagi terbaring di atas lantai. Kepalanya terasa
berat. Pipinya perit, dadanya terasa bagai dihempap batu besar dan seluruh badannya sengal. Dia terdengar suara ayah memanggilnya dari luar bilik..

"Ejah! Ejah! Bangun! Kau dah tak nak sekolah," garang suara ayah.

Ejah cuba bangun tetapi tubuhnya terasa amat berat. Penangan ayah semalam masih terasa. Tubuhnya terasa begitu lemah. Pintu biliknya dibuka. Ayah melangkah masuk.

"Tidur lagi!" jerkah ayah.

"Ee..ejah rasa tak sihat ayah," jawabnya dengan suara yang dengar tak
dengar.

"Sudah, jangan nak mengada-ngada" marah ayah sambil menarik tangannya.

Seluruh tubuhnya terasa hendak tercabut. Dia gagahkan juga untuk berdiri.

"pergi mandi," ayah menolaknya ke bilik mandi.

Setelah selesai mandi dan bersiap dia ke sekolah berjalan kaki seperti
biasa. Tubuhnya masih lemah tetapi di kuatkan juga. Dia tidak mahu menaikkan darah ayah lagi. Sampai di sekolah di rasakan mata-mata memandangnya dengan penuh kehairanan. Dia hanya membiarkan mereka memandangnya. Dia terlalu sibuk menahan sakit.

"Nurfaizah," terdengar suara Cikgu Linda memanggilnya.

Dia memandang Cikgu Linda kosong.

"Siapa yang buat kamu macam ni?" tanya Cikgu Linda sambil mengusap
rambutnya.

Ejah hanya diam membisu. Kepalanya terasa bertambah berat, dia mula terasa sukar untuk bernafas. Pandangan mula kabur. Ejah merasakan kaki begitu lemah dan tidak lagi mampu menahan berat tubuhnya. Dia jatuh terjelepuk di lantai. Dalam kabur-kabur dia mendengar Cikgu Linda memanggil namanya.

Akhirnya semua bertukar gelap dan sunyi. Sekelilingnya putih dan berbau ubat. Kepalanya tidak terasa berat atas berdenyut. Dia membuka matanya perlahan. Ada ayah, ada nenek dan Mak Usu. Nenek menangis. Ayah pun menangis. Tidak pernah dia nampak ayah menangis. Ayah usap-usap rambutnya perlahan. Tak pernah ayah buat begitu padanya. Tiada tanda-tanda kemarahan dan kebencian di wajah ayah.

"Maafkan ayah nak," suara ayah sayu dan tersekat-sekat. Ejah tak faham
Kenapa ayah dan nenek sedih.

"Kenapa semua orang sedih," tanya Ejah dengan kepayahan.

"Janganlah sedih. Ejah cuma nak pergi jumpa mama. Ejah nak minta maaf pada mama. Ejah rindu mama," Ejah bersuara perlahan.

"Oh Ejah! Maafkan ayah! Ayah menyesal! Jangan tinggalkan ayah!" ayah merayu.

Air mata mengalir di pipi ayah. Ejah merasakan tubuhnya semakin ringan. Dia tersenyum memandang nenek, kemudian ayah dan akhirnya ke arah mak usu. Pernafasan Ejah mula tersekat-sekat dan akhir dada si kecil terhenti berombak. Senyuman Ejah masih lagi di bibirnya yang pucat itu. Dia terbaring kaku. Wajahnya kelihatan tenang. Ayah meraung menyesali perbuatannya.

Menurut doktor, Ejah mengalami pendarahan dalam otak kerana hantukkan yang kuat. Ejah juga kepatahan beberapa tulang rusuknya dan mengakibatkan kecederaan pada paru-parunya. Ayah masih lagi meraung. Meraung, menangisi pemergian insan kecil yang tak pernah dihargai selama hayatnya...Insan kecil bernama EJAH...

Rahsia Bulan Kelahiran

Berikut disenaraikan kajian mengenai bulan dan sikap anda, yang telah dijalankan oleh Yang Berbahagia Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah. Artikel ini diambil dari Ruangan Artikel myMasjid.com. Anda boleh menyemak sendiri ciri-ciri ini dalam diri anda dan menjadi salah satu pengetahuan untuk mengenali sahabat dan muhasabah diri.

JANUARI
Bercita-cita tinggi dan orangnya serius, suka mendidik dan dididik. Sangat mudah melihat kelemahan orang dan suka mengkritik. Rajin dan setiap yang dibuat nampak keuntungan. Suka pada kecantikan, kekemasan dan teratur. Bersifat sensitif dan berfikiran mendalam. Pandai mengambil hati orang lain. Pendiam kecuali telah dirangsang. Agak pemalu dan mempunyai daya tumpuan yang sangat tinggi. Mudah mendisiplinkan diri sendiri. Badannya sihat tetapi mudah diserang selsema. Bersikap romantik tetapi tidak pandai memperlihatkannya. Cukup sayang pada kanak-kanak. Suka duduk di rumah. Setia pada segala-galanya. Perlu belajar kemahiran bersosial. Sifat cemburu yang sangat tinggi

FEBRUARI
Berfikiran abstrak. Sukakan benda yang realiti dan abstrak. Bijak dan pintar Berpewatakan yang mudah berubah. Mudah menawan orang lain. Agak pendiam. Pemalu dan rendah diri. Jujur dan setia pada segalanya. Keras hati untuk mencapai matlamat. Tidak suka dikongkong. Mudah memberontak apabila dikongkong. Suka kegiatan yang lasak. Emosinya mudah terluka dan sangat sensitif. Mudah mempamerkan marahnya. Tidak suka benda yang remeh-temeh. Suka berkawan tapi kurang mempamerkannya. Sangat berani dan suka memberontak. Bercita-cita tinggi, suka berangan-angan dan ada harapan untuk merealisasikan impiannya. Pemerhatian yang tajam. Suka hiburan dan sukan. Suka benda yang bersifat seni. Sangat romantik pada dalaman tetapi tidak pada luaran. Berkecenderungan pada benda yang tahyul. Amat mudah dan boleh menjadi terlalu boros. Belajar untuk mempamerkan emosi.

MAC
Berpesonaliti menarik dan menawan. Mudah didampingi. Sangat pemalu dan pemendam rasa. Sangat baik secara semulajadi, jujur pemurah dan mudah simpati. Sangat sensitif pada perkataan yang dituturkan dan alam persekitaran. Suka pada kedamaian. Sangat peka pada orang lain. Sesuai dengan kerjaya yang memberi khidmat kepada orang lain. Tidak cepat marah dan sangat amanah. Tahu membalas dan mengenang budi. Pemerhatian dan penilaian yang sangat tajam. Kecenderungan untuk berdendam jika tidak dikawal. Suka berangan-angan. Suka melancong. Sangat manja dan suka diberi perhatian yang sangat tinggi. Kelam kabut dalam memilih pasangan. Suka dengan hiasan rumahtangga. Punya bakat seni dalalm bidang muzik. Kecenderungan pada benda yang istimewa dan baik. Jangan terlalu mengikut selera atau perasaan

APRIL
Sangat aktif dan dinamik. Cepat bertindak membuat keputusan tetapi cepat menyesal. Sangat menarik dan pandai menjaga diri. Punya daya mental yang sangat kuat. Suka diberi perhatian. Sangat diplomatik (pandai memujuk ). Berkawan dan pandai menyelesaikan masalah orang. Sangat berani dan tiada perasaan takut. Suka perkara yang mencabar, pengasih, penyayang, sopan santun dan pemurah. Emosi cepat terusik. Cuba kawal perasaan. Kecenderungan bersifat pendendam. Agresif dan kelam kabut dalam membuat keputusan. Kuat daya ingatan. Gerak hati yang sangat kuat. Pandai mendorong diri sendiri dan memotivasikan orang lain. Berpenyakit disekitar kepala dan dada. Sangat cemburu dan terlalu cemburu

MEI
Keras hati & degil. Kuat semangat & bermotivasi tinggi. Pemikiran yang tajam. Mudah marah apabila tidak dikawal. Pandai menarik hati & perhatian orang lain . Perasaan yang amat mendalam. Cantik dari segi mental & fizikal. Tidak perlu dimotivasikan. Tetap pendirian, tetapi mudah dipengaruhi oleh orang lain. Mudah dipujuk. Bersikap sistematik (otak kiri). Suka berangan. Kuat daya firasat memahami apa yang terlintas di hati orang lain tanpa diberitahu. Bahagian telinga & leher mudah diserang penyakit. Daya khayalan yang tinggi. Permikiran yang tajam. Pandai berdebat. Fizikal yang baik. Kelemahan sistem pernafasan. Suka sastera, seni & muzik serta melancong. Tidak berapa suka duduk di rumah. Tidak boleh duduk diam. Tidak punya ramai anak. Rajin dan bersemangat tinggi. Agak boros.

JUN
Berfikiran jauh & berwawasan. Mudah ditawan kerana sikap baik. Berperangai lemah lembut. Mudah berubah sikap, perangai, idea dan mood. Idea yang terlalu banyak di kepala. Bersikap sensitif. Mempunyai pemikiran yang aktif (sentiasa berfikir). Sukar melakukan sesuatu dengan segera. Bersikap suka menangguh-nangguh. Bersikap terlalu memilih & mahukan yang terbaik. Cepat marah & cepat sejuk. Suka bercakap & berdebat. Suka buat lawak & bergurau. Otaknya cerdas berangan-angan. Mudah berkawan & pandai berkawan. Orang yang sangat tertib. Pandai mempamerkan sikap. Mudah kecil hati. Mudah kena selsema. Suka berkemas. Cepat rasa bosan. Sikap terlalu memilih & cerewet. Kurang mempamerkan perasaan. Lambat untuk sembuh apabila terluka hati. Suka pada barang yang berjenama. Mudah menjadi eksekutif. Kedegilan yang tidak terkawal. Sesiapa yang memuji, dianggap musuh. Siapa yang menegur dianggap kawan.



JULAI
Sangat suka didamping. Banyak berahsia dan sukar dimengerti terutamanya lelaki. Agak pendiam kecuali dirangsang. Ada harga dan maruah diri. Tak suka menyusahkan orang lain tapi tidak marah apabila disusahkan. Mudah dipujuk dan bercakap lurus. Sangat menjaga hati orang lain. Sangat peramah. Emosi sangat mendalam tapi mudah terluka hatinya. Berjiwa sentimental. Jarang berdendam. Mudah memaafkan tapi sukar melupakan. Tidak suka benda remeh-temeh. Membimbing cara fizikal dan mental. Sangat peka, mengambil berat dan mengasihi serta penyayang. Layanan yang serupa terhadap semua orang. Tinggi daya simpati. Pemerhatian yang tajam. Suka menilai orang lain melalui pemerhatian. Mudah dan rajin belajar. Suka muhasabah diri. Suka mengenangkan peristiwa atau kawan lama. Suka mendiamkan diri. Suka duduk di rumah. Suka tunggu kawan tapi tak cari kawan. Tidak agresif kecuali terpaksa. Lemah dari segi kesihatan perut. Mudah gemuk kalau tak kawal diet. Minta disayangi. Mudah terluka hati tapi lambat pulih. Terlalu mengambil berat. Rajin dalam membuat kerja

OGOS
Suka berlawak. Mudah tertawan padanya. Sopan santun dan mengambil berat terhadap orang lain. Berani dan tidak tahu takut. Orangnya agak tegas & bersikap kepimpinan. Pandai memujuk orang lain. Terlalu pemurah & bersikap ego. Nilai harga diri yang sangat tinggi. Dahagakan pujian. Semangat juang yang luar biasa. Cepat marah & mudah mengamuk. Mudah marah apabila cakapnya dilawan. Sangat cemburu. Daya pemerhatian yang tajam & teliti. Cepat berfikir. Fikiran yang berdikari. Suka memimpin & dipimpin. Sifat suka berangan. Berbakat dalam seni lukis, hiburan & silat. Sangat sensitif tapi tidak mudah merajuk. Cepat sembuh apabila ditimpa penyakit. Belajar untuk bertenang. Sikap kelam kabut. Romantik, pengasih dan penyayang. Suka mencari kawan

SEPTEMBER
Sangat bersopan santun & bertolak ansur. Sangat cermat, teliti & teratur. Suka menegur kesilapan orang lain & mengkritik. Pendiam tapi pandai bercakap. Sikap sangat cool, sangat baik & mudah simpati. Sangat perihatin & terperinci, amanah, setia & jujur. Kerja yang dilakukan sangat sempurna. Sangat sensitif yang tidak diketahui. Orang yang banyak berfikir. Daya pentaakulan yang baik. Otak bijak & mudah belajar. Suka mencari maklumat. Kawal diri dari terlalu mengkritik. Pandai mendorong diri sendiri. Mudah memahami orang lain kerana banyak menyimpan rahsia. Suka sukan, hiburan & melancong. Kurang menunjukkan perasaannya. Terluka hatinya sangat lama disimpan. Terlalu memilih pasangan. Sukakan benda yang luas. Bersistematik.

OKTOBER
Suka berbual. Suka orang yang sayang padanya. Suka ambil jln tengah. Sangat menawan & sopan santun. Kecantikan luar & dalam. Tidak pandai berbohong & berpura-pura. Mudah rasa simpati, baik dan mementingkan kawan. Sentiasa berkawan. Hatinya mudah terusik tetapi merajuknya tak lama. Cepat marah. Macam pentingkan diri sendiri. Tidak menolong orang kecuali diminta. Suka melihat dari perspektifnya sendiri. Tidak suka terima pandangan orang lain. Emosi yang mudah terusik. Suka berangan & pandai bercakap. Emosi yang kelam kabut. Daya firasat yang sangat kuat (terutamanya perempuan). Suka melancong, bidang sastera & seni. Pengasih, penyayang & lemah lembut. Romantik dalam percintaan. Mudah terusik hati & cemburu. Ambil berat tentang orang lain. Suka kegiatan luar. Orang yang adil. Boros & mudah dipengaruhi persekitaran. Mudah patah semangat

NOVEMBER
Banyak idea dalam perkara. Sukar untuk dimengertikan atau difahami sikapnya. Berfikiran kehadapan. Berfikiran unik dan bijak. Penuh dengan idea-idea baru yang luarbiasa. Pemikiran yang tajam. Daya firasat yang sangat halus dan tinggi. Sesuai jadi seorang doktor. Cermat dan teliti. Personaliti yang dinamik. Sifat yang berahsia, pandai mencungkil dan mencari rahsia. Banyak berfikir, kurang bercakap tetapi mesra. Berani, pemurah setia dan banyak kesabaran. Terlalu degil dan keras hati. Apabila berkehendak sesuatu, akan diusahakan sehingga berjaya. Tak suka marah kecuali digugat. Mudah ambil berat terhadap orang lain. Pandai muhasabah diri. Cara berfikir yang lain dari orang lain. Otak yang sangat tajam. Pandai mendorong diri sendiri. Tidak hargai pujian. Kekuatan semangat dan daya juang yang sangat tinggi apabila berkehendak sesuatu. Cuba sampai berjaya. Badan yang sasa. Kasih sayang dan emosi yang sangat mendalam dan romantik. Tidak pasti dengan hubungan kasih sayang. Suka duduk d irumah. Sangat rajin dan berkemampuan tinggi. Amanah, jujur, setia dan pandai berahsia. Tidak berapa berjaya dalam mengawal emosi. Bercita-cita tinggi. Perangai tidak dapat diramal dan mudah berubah-ubah

DISEMBER
Sangat setia dan pemurah. Bersifat patriotik. Sangat aktif dalam permainan dan pergaulan. Sikap kurang sabar dan tergesa-gesa. Bercita-cita tinggi. Suka menjadi orang yang berpengaruh dalam organisasi. Seronok bila didampingi. Suka bercampur dengan orang. Suka dipuji, diberi perhatian dan dibelai. Sangat jujur, amanah dan bertolak ansur. Tidak pandai berpura-pura. Cepat marah. Perangai yang mudah berubah-ubah. Tidak ego walaupun harga dirinya sangat tinggi. Benci pada kongkongan. Suka berlawak. Pandai buat lawak dan berfikiran logik.